Thursday 24 December 2015

SALAM MAULIDUR RASUL

Salam buat semua

Hari ini kita merasai dekatnya Rasulullah dalam kehidupan kita. Barangkali sudah lama kita lupa dan tidak berselawat kepada baginda. 

Signifikannya hari ini bukanlah pada selawatnya. Bukanlah pada perayaannya. Tetapi pada penghayatan akan betapa cintanya Rasulullah kepada umatnya, dalam keadaan baginda tidak pernah bertemu dan mengenali kita.

Disebabkan itu , baginda sejak dari awal perjuangannya, bersungguh-sungguh menyebarkan dakwah agar sampai kepada kita. Hattakan baginda pernah dicaci maki oleh keluarganya sendiri, berdarah buku lali  di baling batu di Taif dan tertusuk panah perang Uhud, namun baginda tegar untuk menyampaikan dakwah.

Baginda tidak pernah mengimpikan istana yang besar dan kehidupan yang mewah. Sedangkan baginda merupakan pemimpin empayar dakwah yang amat besar.

Aisyah R.A pernah menyebut: Demi Allah, tidak pernah beliau kenyang dari roti, atau daging dua kali sehari. ( HR Tarmizi)

Baginda meninggal dunia tidaklah yang tinggal melainkan kurma dan juga gandum. Malah baju besinya pun masih digadaikan di tangan Yahudi.

Sungguh peribadi Rasulullah sangat berbeza dengan kehidupan kita sekarang.

Dahulu baginda hidup dengan sekadarnya. Cukuplah pakaian dan makanan untuk hidup demi meneruskan perjuangan. Sedangkan agenda kehidupan kita sekarang amat berbeza sekali.

Kita disibukkan dengan mengejar harta dan pangkat, sehinggakan kita alpa tugas utama kita adalah untuk mengabdikan diri kita kepada Allah dan menegakkan syariat Islam di bumi ini.

Bukhari dan Ibnu Abid Dunia meriwayatkan dari Aisyah ra. dia berkata: "Bala yang pertama-tama sekali berlaku kepada ummat ini sesudah perginya Nabi SAW ialah kekenyangan perut! Sebab apabila sesuatu kaum kenyang perutnya, gemuk badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan akan merajalelalah syahwatnya."

Rasulullah begitu cintakan kita, sedangkan kita, jarang betul mengingatinya!

Di waktu ambang kematian Rasulullah, baginda berbicara dengan malaikat Jibril.

" Wahai Jibril, jelaskan padaku, apakah hakku nanti di hadapan Allah ? 

Jibril menjawap,  "Pintu-pintu langit sudah terbuka, malaikat sedang menanti roh kamu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," 

Namun jawapan itu tidak membuatkan Rasulullah lega, malah matanya masih penuh keresahan.

"Engkau tidak suka mendengar khabar ini?" Tanya Jibril. 

"Khabarkan kepadaku, bagaimanakah nasib umatku kelak? "

"Jangan khuatir wahai Rasulullah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku; "Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad sudah berada di dalamnya," kata Jibril. Ketika it barulah nampak tanda-tanda kelegaan pada wajahnya yang mulia itu.

Perlahan-lahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat leher baginda menegang. "Jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini," perlahan Rasulullah mengadu. 

"Jijikkah engkau melihatku sehinggakan engkau palingkan wajahmu, jibril?" Tanya Rasulullah kpd malaikat jibril. "Siapakah yg sanggup melihat kekasih Allah direnggut ajal." kata jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yg tidak tertahan lagi. "Ya Allah, dahsyatnya maut ini, timpakan sahaja siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." Badan Rasulullah mulai sejuk, kaki dan dadanya tidak bergerak lagi. 

Begitulah permintaan Nabi kepada Allah, yang tidak Allah kabulkan. Cukup memberikan kita keinsafan pada waktu detik kematian baginda, tidak lekang baginda untuk memohon kepada Allah akan diampunkan dosa kita dan diringankan azab kita.

Rasulullah pernah bersabda:

Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

 Subhanallah! Betapa agungnya peribadi mulia itu! 

Ya Allah betapa bezanya cinta kita kepada baginda dan cinta baginda kepada kita!

Kata seorang ulama':  “Barangsiapa yang mengaku umat Nabi Muhammad, hendaklah berakhlak seperti beliau (Nabi Muhammad)”.

Firman Allah SWT:

“Katakanlah: “Jika kamu mencintai Allah ikutilah aku (Rasulullah SAW) niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (‘Ali Imran: 31)

Maka tanda cinta kita kepada Rasulullah adalah:

1) Ikuti sunnahnya. Ini perlu kita pelajari dan baca melalui kitab sirahnya.

2) Menundukkan hawa nafsu kita untuk ikuti ajaran Rasulullah. Sabda Nabi S.A.W Tidak sempurna iman seseorang di antara kamu sehingga hawa nafsunya tunduk kepada apa yang telah aku sampaikan”

3) Menyebarkan ajaran dakwah Islam. Inilah satu-satunya sunnah teragung Rasulullah yang harus kita ikuti. Inilah pekerjaan baginda yang harus kita anuti

4) Mengingati baginda dan pengorbanan baginda melalui selawat dan bacaan sirah yang mendalam.

5) Rindu bertemu baginda. Diantara umatku yang paling mencintaiku adalah orang-orang yang hidup selepasku, salah seorang dari mereka sangat ingin melihatku walaupun terpaksa menebus dengan keluarga dan harta.” [HR Muslim].

Pelbagai lagi tanda-tanda yang lain cuma cukuplah 5 perkara ini untuk kita tanamkan dan amal dalam peribadi kita.

Semoga kecintaan kita kepada baginda pada hari ini menambahkan kebaikan dalam jiwa kita seterusnya tersebar kepada manusia lainnya.

Wallahualam

Salam maulidur rasu