Monday, 4 January 2016

KAYA HATI

KAYA HATI

Kekayaan hakiki sebenarnya bukan terletak pada benda-benda material, akan tetapi ia sesuatu yang berada di dalam hati manusia.

Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah kaya itu dengan memiliki banyak harta. Akan tetapi kaya (sebenar) adalah kekayaan hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban, Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Zar: "Wahai Abu Zar, adakah engkau menyangka bahawa banyak harta itu bermakna kaya?" Abu Zar berkata: "Ya."Baginda bersabda lagi: "Dan adakah engkau menyangka bahawa ketiadaan harta itulah kefakiran?" Abu Zar berkata: "Ya."
Baginda lalu menjelaskan: "Kekayaan sebenar adalah kekayaan hati. Dan kefakiran sebenar adalah kefakiran hati."

Kaya hati - adalah merasa cukup dengan yang ada. Sifat ini disebut juga dengan qana'ah. Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar: "Kekayaan hati terbit daripada sifat reda atas ketentuan Allah dan bersyukur atas segala pemberian-Nya."

Bagi orang yang kaya hati, rezeki yang sedikit terasa banyak. Akibatnya, ia dapat menikmati pemberian Allah SWT itu dengan sepenuh hati. Hatinya tidak lagi tercari-cari sesuatu yang kurang, apa lagi runsing memikirkan cara untuk mendapatkannya. Sebaliknya, ia selalu merasa riang gembira kerana limpahan rahmat daripada Allah SWT yang tidak pernah terputus.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang bangun pagi dalam keadaan aman sentosa, sihat tubuh badan dan memiliki apa yang boleh dimakan, maka seolah ia telah memiliki seluruh isi dunia." (riwayat al-Tirmizi)

Luangkan sedikit masa
Kaya hati hanya dapat diperoleh apabila kita kembali kepada Allah SWT. Allah SWT hanya meminta sedikit daripada kita, namun memberi sangat banyak. Luangkanlah sedikit masa untuk beribadat kepada-Nya, membelek al-Quran dan buku-buku agama. Nescaya pintu kekayaan akan terbuka luas di dalam hati kita.

Dalam sebuah hadis kudsi, Allah SWT berfirman: "Wahai anak Adam, luangkan masamu untuk menyembah-Ku, nescaya Aku akan memenuhi hatimu dengan kekayaan, dan Aku akan menutupi kefakiranmu. Namun jika engkau enggan melakukannya, nescaya Aku akan membebanimu dengan pelbagai kesibukan, tetapi aku tidak menutupi kefakiranmu." (riwayat Al-Tirmizi)

Subhanallah...
Syukur Alhamdulillah
Tahniah!
Kalian sebenarnya telah kaya kerana memiliki  yang sihat.

No comments:

Post a Comment