Wednesday 30 December 2015

GAJI KECIL TAK PAYAH BAYAR ZAKAT?







GAJI KECIL TAK PAYAH BAYAR ZAKAT?

Soalan: Ada sesetengah individu apabila diceritakan kepada mereka mengenai berzakat, mereka akan mengatakan kami ini tidak perlu berzakat sebab gaji yang kami ada pun cukup-cukup makan. Dan ada juga penceramah yang bagi tahu contohnya, gaji sekian-sekian, apabila ditolak itu dan ini, maka sudah tidak perlu menunaikan zakat. Soalannya, betulkah begitu?

JAWAPAN: Kita berbalik kepada pengertian zakat di sisi syarak, iaitu ‘mengeluarkan harta tertentu, dengan syarat tertentu, pada kadar tertentu, untuk asnaf tertentu’. Ertinya, zakat ini ibadah khusus. Hanya harta jenis tertentu sahaja yang wajib, juga ada syarat-syarat wajibnya, ada pula kadar wajibnya dan khusus pula penerimanya. Sebab itu, jika tidak cukup syarat wajib, maka tidaklah wajib orang itu berzakat dan tidaklah dia berdosa.

Namun begitu, siapakah yang berhak menentukan seseorang itu sudah wajib atau belum? Dalam hal ini, jika orang itu tidak tahu atau ragu-ragu, maka dia mestilah berjumpa dengan pegawai zakat. Ini kerana, pegawai zakat sudah dilatih untuk menilai, mengira dan menaksir apakah orang itu sudah wajib atau belum berzakat. Jika ternyata setelah ditaksir dan belum cukup syarat, maka tidaklah wajib dia membayar zakat dan baharulah kita boleh berpuas hati.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: “Maka bertanyalah kamu kepada ahlinya (yang pakar) jika kamu tidak mengetahui (dalam sesuatu perkara)”. (al-Anbiya’: 7, an-Nahl: 43)
Tetapi, jika kita memang masih belum wajib, elok asuh hati dan diri kita untuk suka memberi sedekah. Setiap sen sedekah yang ikhlas, Allah SWT akan balas dengan 700 kali ganda atau lebih lagi. Pendek kata, sedekah mampu menjadikan kita kaya, kaya jiwa dan kaya harta, isnya-Allah.

No comments:

Post a Comment