Wednesday 30 December 2015

RAHSIA MENGAPA SOLAT KITA GAGAL MENCEGAH KEJI DAN MUNGKAR - BACAAN BERAT

RAHSIA MENGAPA SOLAT KITA GAGAL MENCEGAH KEJI DAN MUNGKAR - BACAAN BERAT
.
.
Sepertimana sabda Nabi SAW tentang puasa yang sia-sia, yang mendapat tidak lain sekadar lapar dan dahaga, bagaimana sukarnya mendapat haji yang mabrur, melainkan untuk melancung, berniaga atau meminta sedekah, maka begitulah juga solat yang disia-siakan fadhilat dan keberkatan tarbiyahnya. Mari sama-sama kita ajar anak generasi kita mendalami SOLAT.

SOLAT SALING MEMBESARKAN ALLAH (TAKBIR)
SOLAT SALING MEMUJI ALLAH (TAHMID)
SOLAT SALING MENSUCIKAN ALLAH (TASBIH)
SOLAT SALING MENGHIDUPKAN JIWA MANUSIA (TAHIYYAT)


... jika kita memahami rahsianya dan mengaplikasikan TARBIYAH nya dengan sempurna.
Jangan jadikan generasi kita seperti maksud Ayat 59 Surah Mariam dalam gambar hiasan ini, iaitu generasi yang bukan tidak solat, tetapi membiarkan solat kita jadi sia-sia.
.
.


Semakin hari semakin binasa ummat manusia. Dahulu, di sebuah pusat hiburan ternama di Kuala Lumpur juga disediakan surau. Tidak kurang juga orang yang menjaga solat tetapi berhibur gaya jahilliyah, meneguk arak dan berzina. Jika tidak arak pun, sekurang-kurangnya dadah-dadah terlarang berbentuk pil.
Seorang pemanggil di siaran langsung program agama di TV semalam terlalu sebak. Beliau yang nampak warak dari bicaranya memperkenalkan diri sebagai seorang ayah yang agak berumur. Dengan kesal beliau menyatakan rasa sedih mengenangkan sikap anaknya yang telah dididik dengan asas agama, namun berubah menjadi liar setelah keluar belajar dan bekerja.

Ramai juga ibubapa yang mengutarakan keluhan atas situasi yang sama ekoran dari artikel mengenai "STATISTIK KELAHIRAN ANAK LUAR NIKAH" 27 Disember lalu. Dengan anggaran muatan penuh Stadium Bukit Jalil ialah 100k, maka secara kolektif, statistik populasi anak luar nikah ini sudah melebihi 7 muatan penuh stadium itu setakat ini. Guru-guru pun sudah mula pening.

Luhanan ibubapa yang menampakkan kekesalan atas perubahan sikap anak-anak itu adalah bagi menangkis dakwaan bahawa masalah gejala sosial itu semata-mata berpunca dari rumah. Ramai yang tidak boleh terima tuduhan seolah-olah mereka tidak bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka dengan asas agama.
Antara yang menjadi kekesalan ibubapa ialah anak-anak yang liar itu telah pun dididik dan dilatih untuk tutup aurat, solat, puasa, baca Quran dan sebagainya. Umum tahu dalam kes murtad di Perak juga diberitakan bahawa bapa gadis itu adalah seorang bilal/imam. Gadis itu juga mampu menghafal surah Yaasin.
Di sekolah dan universiti pula lain ceritanya. Seorang Penolong Pengarah Pendidikan Negeri Selangor dalam ucapannya di sebuah Sekolah Menengah Agama memberitahu bahawa ramai bekas pelajar yang dilihat baik dan warak di sekolah, segera berubah menjadi liar apabila keluar dari sekolah.
Beliau yang juga bekas pengetua sekolah menengah agama mengatakan banyak program ritual agama seperti qiamulail, ceramah dan usrah serta solat berjemaah yang dianjurkan sekolah bertujuan untuk menjadikan para pelajar lebih berakidah dikatakan sebagai tidak berkesan. Oleh itu beliau meminta para ibubapa untuk turut memainkan peranan mereka di rumah masing-masing.

BAGAIMANA MEKANISMA SOLAT DALAM MENCEGAH KEJI & MUNGKAR?

Kami telah lakukan kajian dan membangunkan sendiri hasil kajian dalam hal ini (R&D), mengikut kemampuan kami. Sengaja kami terima anak-anak, khususnya anak yatim yang paling teruk akhlaknya. Ada yang kami ambil dari lokap polis, malah ada yang dibuang dari Sekolah Hendry Gurney. Kami cuba juga pada penagih dadah tegar yang telah 16 tahun menagih. Alhamdulillah sejahat mana pun mereka, dengan Sibghatullah (acuan Allah), anak-anak ini boleh diislahkan akhlaknya.
Menyedari hal itu, ramai yang ingin menempatkan anak-anak yang mengalami masalah serupa. Malangnya rumah ini tidak mampu untuk menampungnya kecuali anak tidak sah taraf yang terbuang atau anak yatim. Kami hanya mampu kongsikan formula pemulihan itu kepada ibubapa anak-anak yang dikatakan telah rosak akhlaknya. Formula paling berkesan yang telah kami gunakan itu tidak lain tidak bukan ialah

‘PERKEMASKAN SOLAT’. Itulah TIANG agama.

Cuba teliti 16 siri rahsia solat yang telah kami kongsikan formulanya dan telah kami amalkan pada anak-anak didik kami dengan baik sekali kesannya. Di situ kami kongsikan bagaimana kefahaman mendalam tentang semua 13 rukun dalam solat untuk membentuk sahsiah anak-anak ini sehingga ia mampu mencegah amalan keji dan mungkar.

UMAT BINASA KERANA MENSIA-SIAKAN SOLAT
Telah Allah tegaskan agar kita minta tolong dengan SABAR & SOLAT (QS:2, Al-Baqarah, 45). Solat yang berkesan juga mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar (QS:29, Al 'Ankabuut, 45).
Jika solat kita tidak mampu mencegahnya, maka pasti ada yang tidak kena dengan solat kita. Padahal SOLAT adalah modul seruan/doa yang paling berkesan buat manusia (“ASSSOLATUD-DO’A”- Solat adalah DO’A). Mungkin juga kita solat dalam keadaan malas dan riya' (QS:4. An Nisaa', 142).

MASALAH kita sekarang ialah gagal menjelaskan rahsia solat kepada anak generasi kita sehingga amalan yang agung itu DISIA-SIAKAN TARBIAHNYA. Akhirnya solat kita hanya menjadi adat budaya dan ikut-ikutan sahaja. Padahal telah Allah larang keras kita berbuat apa sahaja tanpa ilmu (QS:17 Al-Isra’, 36) dan jangan beramal sekadar ikut-ikut dan bersangka-sangka (QS:10 Yunus, 36, QS:6 Al-An’am, 116).
Amalan yang meraba-raba tanpa ilmu itulah yang akan membuatkan kita bingung dan malas. Jika kita teruskan juga berjalan dalam kebingungan dan kejahilan, maka lambat laun kita PASTI akan TERSESAT.
Oleh itu, perhalusilah aplikasi sains sosiologi, psikologi dan teologi di sebalik solat itu sendiri. Apakah persamaan antara solat, solawat, silah, silaturrahim? Kesemua itu terkait dengan asas perkataan "SILAH" (perhubungan). Menjaga solat 5 waktu sehari semalam itu adalah satu SIMBOL penyerahan dan perhubungan (silah) kita kepada Allah.

Masalahnya, simbol itu adalah satu representasi kepada sesuatu yang tidak kita zahirkan. Justeru, ritual solat itu hanya mampu memberhentikan keji dan mungkar 5 minit sewaktu solat sahaja. Selepas itu maka kita akan sambung lagi terkinja-kinja di kelab malam dengan deejay kesayangan kita. Habis berjimba tersangkut pula di mana-mana untuk berzina. Subuh esoknya bangun dan mandi junub dahulu sebelum melaksanakan solat Subuh pula.

Itulah silap kita. Solat sudah semacam menjadi adat yang tidak difahami, bukan dijadikan asas tarbiah yang membina sahsiah diri. Kadangkala solat kita hanya kerana malu dengan mertua dan anak isteri. Rakan tunggu depan pagar mahu ajak ke dangdut pun kita kata ‘tunggu jap, aku solat dulu”. Padahal kita tahu di sana sudah ramai GRO dan acara maksiat menunggu.
Sebahagian kita solat hanya untuk keraian dan menunjuk-nunjuk sahaja kerana sudah terbiasa. Apa yang keluar dari mulut ibarat siulan yang tiada makna, gerak lakunya ibarat tepukan tangan kerana tidak difahami maksud perlakuannya (QS: 8 Al-Anfal, 35). Sama keadaannya seperti kita meraikan hari kemerdekaan kerana sudah menjadi adat. Tentu tidak sama 'meraikan' merdeka dengan orang yang bermati-matian memperjuangkannya.

KESIMPULAN
Apabila solat itu dilupakan disiplinnya secara applikasi saintifik dan hanya secara ritualistik, maka perlaksanaan Islam sudah menjadi tidak holistik. Solat itu bicara silah (hubungan) silaturrahim kita dengan Allah. Disiplin yang diajarkan dalam solat itu harus dipraktikkan dalam kehidupan di luar solat. Malangnya tarbiah agung itu kita persia-siakan.
Inilah yang pincang. Dalam solat kita berikrar untuk mengingati perintah dan mengabdikan diri kepada Allah setiap hari siang dan malam. Pastinya IKRAR kita di dalam iftitah, serta bacaan titah perintah dari firman Allah yang dibaca, juga DISIPLIN mematuhi imam, af’al tunduk patuh (ruku’) dan pengabdian (sujud) kita di dalam solat itu WAJIB kita laksanakan di luar solat juga. Itulah solat yang berkesan dalam pembangunan akhlak dan akidah agama.
QS: 4. An Nisaa'/ 43. “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan…”.

Demikian pentingnya mengetahui apa yang diucapkan dan apa yang dilakunkan dalam solat. Tanpa memahaminya, maka Allah gelar kita mabuk. Bayangkan betapa murkanya Raja kita apabila kita berbicara dengannya tanpa tahu apa yang kita kata dan lakukan seperti orang mabuk, tentu dia murka bukan?
Namun inilah yang terjadi dewasa ini. Solat yang kita ajar kepada anak-anak kita hanya dianggap sebagai satu adat budaya sahaja. Segala rukun solat, baik qauli (bacaan), fe’li (perbuatan) dan qolbi (hati) tidak difahami sama sekali. Akhirnya tarbiah yang begitu fundamental dalam pembangunan agama dan sahsiah umat melalui solat ini hanya menjadi satu lakonan ritual agama semata-mata. Kerana itulah terjadi di dalam solat kita membaca ayat untuk menjauhi zina tetapi selepas solat kita terus pergi pula ke lubuk-lubuk zina. Kerana tidak memahami apa yang dikata, maka kita tidak melaksanakannya (QS:61 As-saff, 2-3)

 

No comments:

Post a Comment