ZIKIRLAH DILIDAH MU, DIHATIMU... ZIKIRLAH SAMPAI HARI MATIMU... ZIKIR
YANG MELIPUTI PERKATAANMU.. PERBUATANMU DAN PERASAAN DIJIWAMU
Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku! Dan dirikanlah sembahyang bagi mengingati Aku! ( Ayat 14 : Surah Taha )
Sembahyang mengandungi perbuatan anggota zahir, perkataan yang
dilafazkan dan penyertaan hati yang benar menghadap kepada Allah s.w.t
dengan sepenuh jiwa raga. Mengingati Allah s.w.t melalui sembahyang
merupakan zikir yang paling sempurna. Perbuatan menjadi zikir, perkataan
menjadi zikir dan perasaan menjadi zikir. Sekalian maujud berada dalam
suasana zikir. Zikir dalam sembahyang menggabungkan pengakuan bahawa
yang diingatkan itu adalah Allah s.w.t; bahawa Allah s.w.t yang diingati
itu adalah Tuhan; bahawa tiada Tuhan melainkan Dia; bahawa Allah adalah
Tuhan yang disembah; bahawa menyembah Allah s.w.t adalah dengan
perkataan, perbuatan dan perasaan; bahawa apa sahaja yang dilakukan
adalah kerana mentaati-Nya dan kerana ingat kepada-Nya.
Zikir
yang di dalam sembahyang menjadi induk kepada zikir-zikir di luar
sembahyang. Menyebut nama-nama Allah s.w.t adalah zikir. Perkataan yang
baik-baik diucapkan kerana Allah s.w.t adalah zikir. Nasihat menasihati
kerana Allah s.w.t adalah zikir. Menyeru manusia ke jalan Allah s.w.t
adalah zikir. Semua itu merupakan zikir perkataan.
Zikir
perbuatan pula meliputi segala bentuk amalan dan kelakukan yang sesuai
dengan syarak demi mencari keredhaan Allah s.w.t. Berdiri, rukuk dan
sujud dalam sembahyang adalah zikir. Melakukan pekerjaan yang halal
kerana Allah s.w.t, kerana mematuhi peraturan yang Allah s.w.t turunkan,
adalah zikir. Mengalihkan duri dari jalan kerana Allah s.w.t adalah
zikir. Apa juga perbuatan yang tidak menyalahi peraturan syariat jika
dibuat kerana Allah s.w.t maka ia menjadi zikir. Tidak melakukan apa-apa
pun boleh menjadi zikir. Orang yang menahan anggotanya, lidahnya dan
hatinya daripada menyertai perbuatan maksiat sebenarnya melakukan zikir
jika dia berbuat demikian kerana Allah s.w.t. Semua itu menjadi zikir
jika dibuat kerana Allah s.w.t, kerana mematuhi perintah-Nya, kerana
mencari keredhaan-Nya dan kerana ingat kepada-Nya. Jadi, perbuatan dan
perkataan terikat dengan amalan hati untuk menjadikannya zikir. Ia hanya
dikira sebagai zikir jika ada zikir hati iaitu hati ingat kepada Allah
s.w.t, ikhlas dalam melakukan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya
Tanpa zikir hati tidak ada zikir-zikir yang lain, kerana setiap amalan
digantungkan kepada niat yang lahir dalam hati.
Zikir adalah
mengingati Allah s.w.t sebaik dan seikhlas mungkin. Mengingati nama-nama
dan sifat-sifat-Nya adalah zikir. Melihat matahari, bulan dan bintang
di langit sambil mengenang kebijaksanaan Allah s.w.t merupakan zikir.
Melihat kilat memancar dan mendengar guruh berdentum sambil mengenangkan
keperkasaan Allah s.w.t adalah zikir. Melihat fajar subuh, melihat dan
mencium bunga yang indah lagi harum sambil mengenang keelokan Allah
s.w.t adalah zikir juga namanya. Jadi, zikir adalah pekerjaan sepanjang
masa, setiap ketika, semua suasana, pada setiap sedutan dan hembusan
nafas dan pada setiap denyutan nadi. Kehidupan ini merupakan zikir daim
(zikir berkekalan) jika mata hati sentiasa memerhatikan sesuatu tentang
Allah s.w.t. dan merasa hidupnya dihidupkan... dia bersifat kerana
disifati... dia tahu kerana dipertahukan... dia berkuasa dan berkehendak
kerana diperkuasa dan diperkehendakkan... dia melihat, mendengar dan
berkata kerana diperlihatkan... diperdengarkan dan diperkatakan oleh
Yang Maha Memiliki segala Sifat2 dan Wujud Hakiki.
Misalkan
seorang sedang melakukan zikir hati dan perkataan; menyebut dan
mengingati nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t. Tiba-tiba datang
seorang kanak-kanak di hadapannya. Anak kecil itu memegang sebotol
racun. Anak kecil mahu meminum racun tersebut. Pada ketika itu ahli
zikir tadi berkewajipan meninggalkan pekerjaan zikir yang sedang
dilakukannya dan berpindah kepada zikir menyelamatkan anak kecil yang
mahu meminum racun itu. Perpindahan perbuatan tidak memutuskan zikir
atau ingatannya kepada Allah s.w.t. Dia menyebut nama Tuhan kerana ingat
kepada Tuhan. Dia menyelamatkan anak kecil itu kerana mentaati perintah
Tuhan. Tuhan yang mentakdirkan anak kecil itu mahu meminum racun di
hadapannya. Tuhan juga mengadakan syariat yang mewajibkan membuang
kemudaratan. Taat kepada perintah Tuhan dan redha dengan takdir Tuhan
yang datang serta bertindak menurut peraturan syariat Tuhan merupakan
zikir yang sangat mulia pada sisi Tuhan. Zikir yang begini termasuk di
dalam golongan zikir yang berkekalan atau zikir daim.
Zikir daim
sukar diperolehi. Kebanyakan manusia melakukan pekerjaan yang baik-baik
yang seharusnya menjadi zikir tetapi dilakukan tanpa ingatan kepada
Allah s.w.t dan bukan dengan penghayatan mematuhi syariat-Nya. Kekuatan
dalaman perlu ditambah bagi memperolehi zikir daim. Bagi tujuan tersebut
perlulah dilakukan zikir sebutan iaitu zikir nafi-isbat (ucapan kalimah
“La ilaha illa Llah ”) dan zikir nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Zikir
yang seperti ini memberi kesan kepada menguatkan rasa kecintaan dan
ingatan kepada Allah s.w.t. Ia membuka kesedaran-kesedaran dalaman.
Kekuatan kesedaran dalaman mendorong seseorang melakukan sesuatu dengan
ikhlas kerana Allah s.w.t yang dicintainya, yang hampir dengannya. Zikir
nafi-isbat dan sebutan nama-nama serta sifat-sifat-Nya menjadi jalan
kepada zikir dalam bentuk mentaati peraturan-Nya tanpa lupa kepada-Nya.
Jadi, perlu dilakukan zikir secara sebutan untuk memudahkan zikir secara
amalan atau perbuatan dan kelakuan. Mudah-mudahan terhasillah zikir
yang berkekalan.
Zikir atau mengingati Allah s.w.t haruslah
dilakukan menurut kadar kemampuan masing-masing. Zikir yang paling baik
diucapkan adalah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w dengan
sabda baginda s.a.w yang bermaksud: “Ucapan zikir yang paling baik
adalah yang aku dan sekalian nabi-nabi bawa. Itulah ucapan kalimah ‘La
ilaha illa Llah ’ .”
Orang yang tidak pernah berzikir adalah
orang yang sangat keras hatinya dan kuat dikuasai oleh syaitan, hawa
nafsu dan dunia. Cahaya api syaitan, fatamorgana dunia dan karat hawa
nafsu membaluti hatinya sehingga tidak ada ingatannya kepada Allah
s.w.t. Seruan, peringatan dan ayat-ayat Tuhan tidak diterima oleh
hatinya. Beginilah keadaan orang Islam yang dijajah oleh sifat munafik.
Orang yang masih mempunyai kesedaran perlu memaksakan dirinya untuk
berzikir, sekalipun hanya berzikir dengan lidah sedangkan hatinya masih
lalai dengan berbagai-bagai ingatan yang selain Allah s.w.t. Pada tahap
pemaksaan diri ini, lidah menyebut Nama Allah s.w.t tetapi hati dan
ingatan mungkin tertuju kepada pekerjaan, harta, perempuan, hiburan dan
lain-lain. Beginilah tahap orang Islam biasa. Orang yang berada pada
tahap ini perlu meneruskan zikirnya kerana jika dia tidak berzikir dia
kan lebih mudah dihanyutkan di dalam kelalaian. Tanpa ucapan zikir
syaitan akan lebih mudah memancarkan gambar-gambar tipuan kepada cermin
hatinya dan dunia akan lebih kuat menutupinya. Zikir pada peringkat ini
berperanan sebagai juru ingat. Sebutan lidah menjadi sahabat yang
memperingatkan hati yang lalai. Berlakulah pertembungan di antara tenaga
zikir dengan tenaga syaitan yang menutupi hati. Tenaga syaitan akan
mencuba untuk menghalang tenaga zikir daripada memasuki hati. Tindakan
syaitan itu membuatkan orang yang ingin berzikir itu menjadi malas dan
mengantuk. Oleh yang demikian perlulah dilakukan mujahadah, memerangi
syaitan yang menghalang lidah daripada berzikir itu. Zikir yang
dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan berjaya melepasi benteng yang
didirikan oleh syaitan. Tenaga zikir yang berjaya memasuki hati akan
bertindak sebagai pencuci, menyucikan karat-karat yang ada pada dinding
hati. Pada peringkat permulaannya zikir masuk ke dalam hati sebagai
Nama-nama dan Sifat-sifat Tuhan yang diucapkan. Apabila karat pada
dinding hati sudah berkurangan ucapan zikir akan disertai oleh rasa
kelazatan. Hati yang sudah merasai nikmat zikir itu tidak perlu kepada
paksaan lagi. Lidah tidak perlu lagi berzikir. Zikir sudah hidup dalam
hati secara diam, jelira dan melazatkan. Perhatian bukan sekadar kepada
nama-nama dan sifat-sifat yang diingatkan malah ia lebih tertuju kepada
Yang Empunya nama dan sifat. Inilah kedudukan orang yang beriman.
Zikir yang lebih mendalam membawa hati berhadap kepada Hadrat Tuhan,
menyaksikan Tuhan pada setiap masa dan suasana. Apa sahaja yang dilihat
dan dibuat memperingatkannya kepada Tuhan. Inilah peringkat zikir daim
yang dikurniakan kepada mereka yang beriman dan bersungguh-sungguh
mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Kehidupan mereka dipenuhi oleh
zikir sepanjang masa. Tidur mereka juga menjadi zikir.
Zikir
yang diucapkan dengan perkataan membantu hati mengingati Tuhan. Bagi
sebahagian manusia berzikir secara kuat lebih memberi kesan daripada
berzikir secara perlahan, terutamanya bagi mereka yang baharu memulakan
amalan zikir. Zikir secara senyap di dalam hati adalah pergerakan
perasaan. Hati menghayati apa yang dizikirkan dan terbentuklah alunan
perasaan sesuai dengan apa yang dihayati. Pada tahap yang lebih mendalam
zikir bukan lagi sebutan atau ingatan kepada Nama, tetapi hati
menyaksikan Keperkasaan(Jalal) dan Keelokan(Jamal) Tuhan. Bila hati
sudah boleh menyaksikan Keelokan dan Keperkasaan Tuhan, itu tandanya
seseorang itu sudah ada hubungan semula dengan roh suci yang mengenal
Tuhan. Pancaran cahaya makrifat daripada roh suci membuat hati dapat
melihat kenyataan sifat-sifat Tuhan.
Pada tahap kesedaran yang
lebih mendalam, ucapan serta ingatan dan perhatian yang berhubung dengan
Tuhan menimbulkan keghairahan atau zauk. Zauk itu terjadi kerana
kuatnya tarikan Hadrat Tuhan kepada hati. Ingatan dan penyaksian
terhadap Hadrat Tuhan akan memberi kesan yang sangat kuat kepada hati.
Hati yang menyaksikan Hadrat Tuhan Yang Maha Perkasa boleh menyebabkan
seseorang itu menjadi pengsan kerana takutnya hati kepada keperkasaan
Allah s.w.t. Hati yang menyaksikan Hadrat Tuhan Yang Maha Lemah-lembut
akan mengalami rasa kenikmatan dan kebahagiaan yang amat sangat.
Pada tahap kesedaran yang lebih mendalam, hati diperkuatkan lagi supaya
mampu menerima ‘sentuhan’ Hadrat Tuhan itu. Penyaksian terhadap Hadrat
Tuhan tidak lagi melahirkan keghairahan atau zauk atau kegoncangan
kepada hati. Hati mengalami suasana Hadrat Tuhan dalam keadaan damai dan
sejahtera. Pada tahap ini hati akan mengenali Tuhan sebagai Raja Yang
Maha Berkuasa dan Raja Hakikat disebalik Alam Maujud. Berada pada sisi
Raja tersebut membuat hati merasakan kesejahteraan dan keselamatan yang
tidak terhingga, hilang rasa takut dan dukacita.
Pada tahap
kesedaran yang paling dalam hati berhadap kepada Hadrat Tuhan yang
bernama Allah s.w.t, yang menguasai semua Hadrat dan martabat wujud,
yang melampaui segala nama dan sifat, segala kenyataan dan ibarat. Hati
sampai kepada tahap jahil setelah berpengetahuan. Ilmu gagal
menghuraikan tentang Allah s.w.t. makrifat gagal memperkenalkan Allah
s.w.t. Apa sahaja yang terbentuk, tergambar, terfikir, yang disaksikan
dengan mata luar dan juga mata dalam dan segala-galanya tersungkur di
hadapan Hadrat Allah s.w.t, yang tiada Tuhan melainkan Dia, Maha
Perkasa. Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang menyamai Allah s.w.t, Dia
Maha Esa. Hati yang berhadapan dengan Hadrat Allah s.w.t benar-benar
mengalami dan mengenali maksud keesaan Allah s.w.t. Hati pun tunduk,
menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t, Tuhan Maha Mencipta. Baharulah
sempurna penyerahannya, baharulah lengkap perjalanan Islamnya.
Setelah itu rohnya menjadi seakan-akan roh yang baharu, seumpama baharu
lahir sebagai Tifhul Maanj... bayi maknawi. Roh yang baharu itu adalah
Roh Islam yang telah mengenal Allah s.w.t yang melampaui segala sesuatu
tetapi memiliki Hadrat-Nya, Nama-nama-Nya dan Sifat-sifat-Nya, menyata
kepada Roh Islam, iaitu Roh yang lebih tulen dan seni daripada semua
roh-roh yang lain. Itulah roh yang telah menemui Kebenaran Hakiki. Pada
roh tersebut bercantum tahu dengan tidak tahu, kenal dengan tidak kenal,
nafi dengan isbat. Roh Islam itulah yang benar-benar mengerti maksud
nafi dan isbat pada Kalimah Tauhid: “La ilaha illa Llah”.
Dia
turunkan Roh dari urusan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki daripada
hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat
15 : Surah al-Mu’min )
Roh Islam yang mengenderai hati Islam dan
memiliki nafsu Islam, akal Islam dan pancaindera Islam kembali kepada
kehidupan dunia untuk mengajak dan membimbing orang lain kepada Yang
Haq, Kebenaran Hakiki. Roh Islam mengeluarkan yang Islam sahaja. Jiwanya
Islam, perkataannya Islam, perbuatannya Islam, diamnya Islam, tidurnya
Islam dan segala-gala yang mengenainya adalah Islam. Roh Islam yang
paling sempurna adalah roh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w merupakan
contoh tauladan Islam yang paling sempurna, paling baik.
Zikir
memainkan peranan yang penting dalam melahirkan Roh Islam. Bagi orang
yang inginkan kebenaran dan melihat kebenaran, menjadi kewajipan baginya
mengingati Allah s.w.t sebanyak mungkin.
Lantas apabila kamu
telah selesaikan sembahyang (sembahyang di waktu perang) itu, maka
hendaklah kamu ingat kepada Allah s.w.t sambil berdiri, dan sambil
duduk, dan sambil (berbaring) atas rusuk-rusuk kamu. Tetapi apabila kamu
telah tenteram, maka hendaklah kamu dirikan sembahyang (seperti biasa),
kerana sesungguhnya itu adalah bagi Mukminin satu kewajipan yang
ditentukan mwaktunya. ( Ayat 103 : Surah an-Nisaa’ )
Yang
mengingati Allah sambil berdiri dan sambil duduk dan sambil berbaring,
dan memikirkan tentang kejadian langit-langit dan bumi (sambil berkata):
“Wahai Tuhan kami! Engkau tidak jadikan (semua) ini dengan sia-sia!
Maha Suci Engkau. Lantaran itu peliharakanlah kami daripada seksa
neraka”. ( Ayat 191 : Surah a-Li ‘Imran )
Setiap Muslim
seharusnya mencari kehidupan berzikir; berzikir sambil duduk dan sambil
berbaring; bekerja di dalam berzikir; berehat di dalam berzikir dan
tidur di dalam berzikir. Lidah berzikir, anggota tubuh berzikir dan hati
berzikir. Tentera Islam yang sedang berperang dengan musuh pun dituntut
berzikir, apa lagi kaum Muslimin yang berada dalam suasana aman. Muslim
sejati sentiasa berzikir, mengingati dan mentaati Allah s.w.t.
Semuga menjadi ahli zikir yang istiqamah... dan semoga bermanfaat!
.
Sumber : Ustaz Iqbal Zain
.
.
Memikirkan / tercari-cari PERKHIDMATAN WELDING di kawasan TELUK INTAN atau kawasan sekitar yang berhampiran ???
.
.
Antara produk kami :
- PINTU PAGAR ( BUNGA MAS / BIASA )
- GRILL PINTU / TINGKAP
- ATAP AWNING
- SLIDING DOOR ( HOLLOW / BIASA )
- WROUGHT IRON
- STAINLESS STEEL
- PENYIDAI KAIN
- PENUTUP LONGKANG
- DAN KERJA-KERJA BERKAITAN BESI
.
.
Jangan risau... $$$$$ ( harga ) kami boleh berunding
Mungkin kami dapat membantu anda..
*** SYARIKAT BUMIPUTERA
*** SYARIKAT BERDAFTAR DI SSM
.
.
---->>> WHATSAPP sekarang : 012 - 336 0861
---->>> Dwan
.
.
JIKA BERMANFAAT silakan " SHARE "
=========================
Banyak info terkini akan kami kongsikan.
https://www.facebook.com/nrzenterprise
https://nrzenterprise.blogspot.com
No comments:
Post a Comment